Tuesday, July 21, 2009

Refer to- chedet

KAKI DALAM KASUT



1. Di forum anjuran Gempita dan UMNO bertajuk Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia di Zaman Liberalisasi dan Globalisasi, saya ditanya oleh seorang pensyarah Melayu dari UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) apakah saya pernah fikir untuk meletak diri saya di tempat orang bukan Melayu (put yourself in the shoes of a non-Malay) bersabit dengan diskriminasi terhadap mereka di negara ini.


2. Saya percaya penyoal berpendapat orang bukan Melayu berasa amat tertekan dan kecewa dengan "ketidakadilan" terhadap mereka di Malaysia (oleh Kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu).


3. Saya tidak tahu samada penyoal ini pernah bertanya kepada tokoh bukan Melayu soalan yang sama iaitu perasaan orang Melayu akan keadaan di negara nenek moyang mereka yang mereka sudah jadi kaum yang secara relatif termiskin dan masih ketinggalan.


4. Jika beliau bertanya dan tokoh tersebut menjawab secara ikhlas, beliau akan dapati bahawa orang Melayu amat kecewa dengan kemiskinan relatif mereka sehingga terpaksa meminta-minta sepanjang masa dan juga ketinggalan dalam pelbagai bidang.


5. Mereka cuba yakin mereka adalah tuan di negara mereka tetapi mereka tahu sebenarnya mereka bukan tuan. Orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar.


6. Kerana mereka rela berkongsi negara mereka dengan kaum lain, kaum yang berasal dari tamadun yang lebih tua (4,000 tahun) dan lebih berjaya, hari ini yang sedikit yang ada pada mereka pun hendak dipisah dari mereka.


7. Fikirkan hanya berkenaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Agihan kekayaan korporat dalam DEB ialah sebanyak 30% bagi bumiputra (walaupun mereka adalah 60% dari penduduk) dan 40% bagi kaum lain serta 30% bagi orang luar. Tetapi setelah diusahakan selama 39 tahun bahagian yang terdapat bagi mereka ialah 20%, sedangkan yang terdapat bagi kaum lain ialah hampir 50%, walaupun mereka hanya 26% dari jumlah penduduk.


8. Nilai harta milik bumiputra pula berjumlah 15% sedangkan yang baki dimiliki oleh bukan bumiputra disebabkan harta di bandar bernilai lebih tinggi dari di luar bandar.


9. Tokoh bukan Melayu yang cuba duduki tempat Melayu (in the shoes of the Malays) jika ikhlas, akan rasa kekecewaan Melayu melihat hampir semua perniagaan dan perusahaan serta kekayaan yang diperolehi darinya dimiliki oleh bukan Melayu. Segala estet rumah mewah juga diduduki oleh bukan Melayu. Sikit benar orang Melayu yang tinggal di estat mewah ini. Lebih ramai yang tinggal di kawasan setinggan.


10. Mungkin semua ini disebabkan kesalahan orang Melayu sendiri. Mereka tidak guna peluang yang disediakan bagi mereka. Ada yang salahguna peluang-peluang ini pun. Tetapi jika seorang pengayuh beca diberi sejuta Ringgit, apakah ia akan dapat berniaga dan berjaya dalam bidang ini.


-


Semenjak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun yang lalu, isu ketuanan masih menjadi bincangan ramai, terutamanya kaum bumiputera, dan sekali-sekala bagi mereka (bukan bumiputera) yang mendakwa ditindas ketidakadilan disebabkan diskriminasi terhadap kaum bukan bumiputera. Tun Dr. Mahathir di sini telah mengubah topik dari Meletak Diri di Tempat Orang bukan Melayu, ke Meletak Diri di Tempat Orang Melayu. Adalah patut difahamkan bahawa negara yang kita semua duduki pada hari ini, adalah negara berbilang kaum, di mana kaum berlainan menyumbang kepada pembangunan negara pada tahap and kadar yang berlainan. Dalam statistik yang dibentangkan, pemilik aset terbesar di negara adalah kaum minoriti, sementara kaum bumiputera yang membentuk peratusan populasi tertinggi di negara hanyalah mempunyai aset yang sikit bandingannya, fakir miskin dan tinggal di setinggan majoritinya. Di sini, tidaklah diperlukan ahli sains roket untuk mengetahui sebabnya.


Masalah ini sebenarnya bermula pada era sebelum kemerdekaan, apabila kaum bukan melayu dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk kerja keras, perlombongan, dan perhambaan. Disebabkan bukan dalam negara sendiri tetapi duduk dan kerja di negara asing, adalah perkara biasa untuk kaum-kaum ini untuk bekerja jauh lebih keras untuk membawa diri di tempat asing. Sifat positif ini dibawa sehinggalah hari ini, dari generasi sebelumnya untuk dicontohi oleh generasi-generasi seterusnya. Pada waktu kemerdekaan, kaum Melayu menuntut apa yang difikirkan perlu (sememangnya wajar) untuk mengekalkan hak-hak sebagai kaum asal di tanah ini. Kaum lain hanyalah boleh menuntut sebarang hak minima seorang rakyat yang perlu ada. Oleh itu, kaum bukan bumiputera perlu bekerja lebih keras untuk hidup dalam keadaan serba kekurangan (hak secara bandingan), dan trait ini telahpun diwarisi sebelum kemerdekaan, dan dalam masa lebih 50 tahun atau dalam 3 generasi, implikasinya terhadap pembangunan negara menjadi sangat ketara.


Dari masa kemerdekaan, para pemimpin negara cuba menerbalikkan keadaan ini (jurang kemiskinan antara kaum) dengan memberi lebih peratusan kuota dalam mana-mana sektor kepada kaum bumiputera, mewujudkan lebih kuota, mendirikan institusi-institusi yang membantu kaum bumiputera semata-mata, dan lain-lain lagi. Tetapi, adanya pepatah, "berilah seorang lelaki ikan, dan dia tidak akan kelaparan sehari. Ajarlah lelaki itu menangkap ikan, dan dia tidak akan kelaparan selama-lamanya." Pepatah ini dengan jelasnya menunjukkan situasi yang dihadapi oleh 2 jenis kaum (bumiputera & bukan bumiputera) negara ini, secara analogi. Sememangnya orang Melayu wajar diberi hak istimewa sebagai kaum asal di tanah ini, tetapi lebihan hak hanya akan menyebabkan seseorang itu hanya bergantung pada "ikan" yang diberi oleh kerajaan dan pemimpin-pemimpin pada masa itu. Sementara itu, kaum bukan bumiputera telah serba-tahu akan cara-cara "menangkap ikan di sungai", adalah wajar difahamkan bahawa sepuluh ikan yang ditangkap, yang menangkap perlu diagihkan jumlah bahagian yang berpatutan, tidak boleh hanya mendapat enam, dan yang selebihnya kepada yang tidak mahu benganjak dan belajar sendirinya.


Satu lagi perkara yang saya ingin sebut di sini, adalah berkaitan dengan salah satu kempen yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri yang sebelumnya, Datuk Seri Abdullah Badawi, yang tujuan kempennya adalah untuk "memansuhkan" perlunya untuk menjelaskan bil elektrik di bawah RM20, penjelasan yang diberi adalah untuk membantu golongan miskin yang bil elektriknya di bawah RM20, dan golongan ini dengan mengejutnya terdiri daripada 80% daripada populasi negara. Walaupun banyak yang menyokong (bayanglah 80% populasi negara), dan selebihnya tiada apa-apa komen, langkah ini sebenarnya tidak membantu pembangunan negara ataupun negeri itu sendiri. Oleh sebab kempen ini hanyalah untuk mereka yang dicaj kurang daripada RM20 sebulan bagi bil, mereka akan mengekalkan faedah ini dengan mengurangkan kadar elektrik yang digunakan, dan juga mengurangkan bilangan peralatan elektrik, ada yang sepenting komputer dan sebagainya. Malah tidak akan kita tahui jikalau ada yang tidak mengunakan komputer dan peralatan penting lain dalam era globalisasi moden ini semata-mata untuk faedah RM20 ini. 80% atau banyak sebahagian daripadanya akan kekal hidup dalam keadaan ini, dalam serba kekurangan informasi sementara yang lain telah melawat angkasa lepas. Pemodenan negara perlu adanya korban, di sini yang dimaksudkan ialah kita tidak boleh kerap membantu yang dipandang lemah, kerana mereka ini tidak tahu dan tidak akan berdiri sendirinya, tidak seperti yang dilakukan oleh kaum lain di dunia ini. Lihatlah jauh pada negara Amerika, mereka ini tidak mempunyai apa-apa, pergi ke tempat orang dan mendirikan negara sendiri sehingga menjadi negara terkuat, dan mata duitnya digunakan di seluruh dunia. Tidak bolehkah kaum bumiputera di negara kita, berdiri kuat tanpa sokongan mana-mana pihak? Jikalau boleh, tidak adanya persoalan seperti ini sejak lebih 50 tahun yang lalu.



Sebenarnya, masih tidak lewat lagi untuk membaiki keadaan pada hari ini. Jika dilihat pada tamadun-tamadun yang berjaya pada masa lampau, amatlah senang kita tahui sebab utamanya- golongan terpelajar. Golongan terpelajar adalah salah satu sifat penting dan sama dipunyai oleh semua tamadun berjaya, dan ini adalah kerana wujudnya sistem pembelajaran (education system) yang jauh lebih baik berbanding tamadun-tamadun yang lain pada masa itu. Hanya dengan adanya sistem yang efisien, barulah sesebuah kaum itu mempunyai daya saing dan boleh berdikari, walau di mana jua.




11. Social engineering bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja. Sosialisme dan Komunisme juga merupakan sejenis social engineering untuk mengurang atau menghapus jurang antara yang miskin dengan yang kaya. Mereka juga tidak berjaya sepenuhnya walaupun mereka mengguna kekerasan yang dahsyat. DEB dilaksanakan dengan berhati-hati tanpa kekerasan, tanpa rampasan dan sering dipinda apabila menghadapi tentangan dari bukan Melayu. Apakah persepsi orang Melayu terhadap DEB?


12. Lihat sahaja sejarah perjuangan Melayu. Pada Pilihanraya 1955, diwaktu mereka menguasai 82% dari kawasan-kawasan pilihanraya, mereka rela memberi sejumlah yang tidak kecil dari kawasan - kawasan mereka kepada kaum lain dan mengundi calon dari kaum-kaum ini sehingga menang melawan calon Melayu lain (PAS).


13. Kemudian mereka anugerahkan satu juta kerakyatan tanpa syarat biasa kepada kaum lain sehingga peratusan rakyat Melayu jatuh dari 82% kepada 60%. Siapakah yang lain yang pernah lakukan yang sedemikian?


14. Pada ketika itu nama rasmi negara ialah Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Semenanjung Tanah Melayu dicantum dengan Singapura, Sarawak dan Sabah, perkataan "Tanah Melayu" digugur dan cantuman negeri - negeri ini dinamakan Malaysia. Dengan itu hilanglah identiti Melayu dalam nama negara sendiri. Tidak pula mereka tuntut nama-nama lain digugur.


15. Tidak seperti di negara-negara yang membenar hanya bahasa kebangsaan mereka sahaja untuk semua sekolah nasional, orang Melayu bersetuju bahasa Cina dan Tamil dijadikan bahasa pengantar di sekolah bantuan Kerajaan. Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) tidak menjadi bahasa kebangsaan seperti di negara-negara jiran dan di Eropah, Australia dan Amerika.


16. Dan banyaklah lagi korban yang dibuat oleh orang Melayu supaya kaum lain mendapat apa sahaja yang dituntut oleh mereka, demi keamanan dan perpaduan rakyat dan negara.


17. Apakah gamaknya perasaan tokoh yang meletak diri di tempat orang Melayu, terhadap semua korban ini? Apakah dia masih fikir yang orang Melayu harus korban segala-gala yang dituntut daripada mereka?


18. Dengan rencana ini saya tetap akan di cap sebagai racist oleh racist bukan Melayu. Tetapi kalau mereka sanggup menerima yang benar, mereka boleh banding korban orang Melayu pemilik asal negara ini dengan korban mereka untuk kepentingan negara ini.


19. Saya berpendapat jika negara ini hendak aman dan maju, agihan kekayaan dan kualiti hidup semua kaum hendaklah adil (fair) walaupun tidak sama (unequal). Janganlah hendaknya mana-mana pihak atau kaum tanggung beban kemiskinan yang keterlaluan, sementara kaum lain hidup mewah. Mengumpan sokongan dengan mengambil hak satu kaum untuk diberi kepada kaum lain bukanlah caranya - lebih-lebih lagi mengambil dari yang kurang berada untuk diberi kepada yang sudah lebih berada.





To be continued-


0 comments: